KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) perlu menampilkan lebih banyak muka baharu bagi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut Pengerusi BN itu, menampilkan muka baharu sebagai calon PRU telah terbukti berjaya mendapat sokongan rakyat dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

"Realiti yang berada di hadapan kita ialah kalau mahu menang, muka-muka baharu mesti diketengahkan lebih ramai lagi.

"Ini terbukti dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka apabila 87 peratus muka baharu hasilnya kita menang lebih tiga perempat majoriti di Melaka.

"Di Johor, 73 peratus muka baharu kita menang dua pertiga. Insya-Allah muka baharu faktor beri harapan baharu kepada pengundi BN," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WCTKL), di sini, pada Ahad.

Sementara itu, mengulas mengenai pembahagian kerusi BN dalam menghadapi PRU15 pula, kata Ahmad Zahid, lebih banyak peluang akan diberikan kepada sayap Puteri, Pemuda dan Wanita UMNO.

Bagaimanapun, ujar beliau, calon berpotensi menang juga akan diambil kira dan diberi peluang.

"Acuan atau template yang kita lihat di PRN Melaka dan Johor itu merupakan acuan yang terbaik dan kita akan lakukan lebih baik daripada itu.

"Saya fikir kita utamakan 'fresh face' walaupun kita faham bahawa berlaku tsunami politik dalam PRU14.

"Ada juga calon kitar semula menang di Melaka dan Johor, jadi tidak semestinya semua calon kitar semula itu tidak baik, saya fikir kombinasi itu baik," tambah Ahmad Zahid.