JOHOR BAHRU: Sasaran Barisan Nasional (BN) Johor menang 16 kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah lebih realistik berbanding bilangan 20 kerusi ditetapkan Pusat.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, sasaran itu hasil kajian yang dibuat Biro Penerangan UMNO negeri itu, selain Veteren, Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Bagaimanapun katanya, bagi pihak UMNO Johor, mereka tetap akan berusaha mencapai sasaran menang di 20 kerusi Parlimen seperti ditetapkan BN Pusat.

"Kita harap pendirian kita didengar supaya kita dapat buat kerja dengan lebih tersusun... lebih pelbagai kaedah kempen dalam saat di perlukan.

"Tapi jelas di sini kita lihat balik, perlu jujur dalam meletakkan sasaran. Maksimum boleh pergi (sasaran) 16 kerusi campur dua. Tetapi kita mesti sasarkan 20 kerusi dengan kerjasama semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Penerangan (Media Sosial) anjuran Veteran UMNO Johor di pejabat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini, hari ini.

Pada PRU14, BN memenangi lapan kerusi di Johor membabitkan kerusi Parlimen Sembrong, Pontian, Mersing, Pengerang, Tenggara, Parit Sulong, Kota Tinggi dan Ayer Hitam.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad kemudiannya lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadikan bilangan Ahli Parlimen BN berkurangan kepada tujuh.

Angka itu kembali meningkat kepada lapan setelah Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng memenangi pilihan raya kecil (PRK) pada November 2019.

Dr Adham pada 21 Mei lalu, dilapor berkata, UMNO Johor meletakkan sasaran menang sekurang-kurangnya 20 kerusi Parlimen pada PRU15 akan datang.

Katanya, sasaran itu diletakkan setelah melihat kejayaan parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan PRN Melaka yang lepas.