BRUSSELS: Suruhanjaya Eropah pada Isnin memaklumkan bahawa pihaknya membuka siasatan rasmi antitrust bagi menentukan sama ada Coca-Cola Europacific Partners menyalahgunakan kedudukan dominannya dengan menyekat perdagangan rentas sempadan bagi minuman ringan berkarbonat dan minuman sukan, lapor Xinhua.
Suruhanjaya itu akan meneliti sama ada syarikat pembotolan yang berpangkalan di United Kingdom itu menawarkan diskaun borong dengan syarat pembeli tidak menjual minuman berkenaan di pasaran negara anggota Kesatuan Eropah (EU) yang lain.
Siasatan itu turut meneliti sama ada syarikat berkenaan mempelbagaikan saiz pembungkusan mengikut negara bagi menyekat jualan rentas sempadan, selain menawarkan insentif kepada peruncit untuk mengehadkan import minuman ringan berkarbonat ke Sepanyol.
Siasatan itu juga merangkumi dakwaan bahawa syarikat pembotolan berkenaan menghendaki pelanggan borong tertentu, termasuk pasar raya, merundingkan pembelian secara berasingan mengikut negara apabila mereka ingin mendapatkan satu perjanjian yang meliputi beberapa pasaran.
Sekatan sedemikian boleh menyukarkan peruncit mendapatkan tawaran harga yang lebih baik, sekali gus menyebabkan pengguna berdepan harga lebih tinggi dan pilihan produk yang lebih terhad, kata Naib Presiden Eksekutif Suruhanjaya Eropah Teresa Ribera.
Suruhanjaya itu berkata siasatan berkenaan akan diberikan keutamaan. Jika terbukti, amalan itu boleh dianggap sebagai penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran di bawah peraturan persaingan EU.
Coca-Cola Europacific Partners merupakan pembekal terbesar minuman ringan berkarbonat di Belgium, Perancis, Jerman, Luxembourg, Belanda, Portugal, Sepanyol dan Sweden, menurut Suruhanjaya Eropah.
Suruhanjaya itu menjalankan pemeriksaan tanpa notis di premis syarikat berkenaan di beberapa negara anggota EU pada Mac 2025.
-- BERNAMA-XINHUA