KUALA LUMPUR: Majoriti pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini mahukan calon-calon yang baharu, mempunyai keperibadian yang bersih, serta tahap integriti yang tinggi, kata Prof Ahmad Martadha Mohamed.

Ketua Kluster, Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia itu berkata, majoriti rakyat berasakan ada segelintir calon yang tidak berintegriti, serta dibebani kes-kes tertentu, sehingga menyukarkan mereka melaksanakan tugas dengan amanah.

Atas sebab itu, beliau merasakan, majoriti pengundi mahu memastikan calon yang bakal dipilih perlu bersesuaian, tidak hanya sekadar mempunyai pengalaman, tetapi benar-benar komited melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

“Sebab itu saya sangat bersetuju pendekatan pengerusi BN (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) yang menyatakan bahawa UMNO sangat komited, untuk pastikan muka-muka baru yang akan diletakkan sebagai calon, dan beliau turut menyatakan 70 peratus adalah mereka yang merupakan muka baharu.

“Bagi saya ini sangat penting kerana yang membolehkan pengundi mempunyai calon yang mereka rasakan mampu bawa perubahan, apatah lagi setelah melihat masyarakat dimomokkan dengan pelbagai isu, pelbagai konflik yang tidak berkesudahan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual Astro AWANI melalui segmen Malaysia Memilih, awal hari ini.

Dalam pada itu Ahmad Marthada berkata, golongan pengundi muda akan menjadi antara sebahagian daripada peratusan pengundi yang agak besar, khususnya yang berusia antara 18 hingga 29 tahun.

“Ini juga merupakan faktor sangat penting. Mereka ini pasti akan melihat calon, kerana walaupun kefahaman mereka tidak begitu tinggi dalam politik, sudah tentu mereka akan mencari calon yang boleh dekat dengan mereka, calon yang fahami hasrat dan aspirasi mereka.

“Jadi suara generasi milenial ini perlu didengari, kerana mereka juga mempunyai keinginan tertentu. Mana-mana calon nak undi ini perlu mencari pendekatan terbaik, dan apakah agenda penting yang boleh tarik minat pengundi muda ini,” katanya lagi.