KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menjangkakan nama calon parti itu bagi Parlimen Kuala Nerus diketahui petang ini.

Jelas beliau, pihaknya masih belum mendapat makluman terkini dan keputusan untuk menentukan calon bagi Parlimen itu masih tergantung.

“Kita masih menunggu keputusan Parlimen Kuala Nerus yang masih tergantung setakat ini.

“Kita masih belum terima makluman terkini. Kita yakin lepas ni menjelang petang kita bakal ketahui keputusan itu,” katanya dalam sidang media selepas menyampai watikah pelantikan calon BN Parlimen Terengganu.

Ahmad juga tidak mendedahkan siapa yang akan mengumumkan calon berkenaan.

Menurutnya bagi BN Terengganu, secara kelazimannya, pihaknya menamakan enam calon bagi kawasan yang dimenangi, manakala lima calon bagi kawasan yang kalah bertanding sebelum ini.

Kuala Nerus merupakan satu-satunya kerusi Parlimen di Terengganu yang tidak diumumkan BN oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa.

Ia sekali gus mencetuskan spekulasi masyarakat, siapakah yang bakal dinamakan sebagai calon BN di kasasan itu - adakah dalam kalangan individu di peringkat bahagian atau ‘orang luar’.

Antara nama yang berlegar untuk dicalonkan adalah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, serta Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Dr Apli Yusof.

Pada pertandingan tiga penjuru PRU14, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, yang juga bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS memenangi kerusi itu dengan majoriti 8,447 undi selepas memperoleh undi 37,975 menewaskan calon BN, Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad yang memperoleh 29,527 undi dan calon PKR, Abdullah Muhamad yang hanya memperolehi 4,604 undi.