PADANG SERAI: Calon kerusi Parlimen P.017 dari Barisan Nasional (BN), Datuk Sivaraj Chandran menghentikan serta-merta segala kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai menghormati pemergian seteru politiknya dari PKR,  M Karupaiya yang meninggal secara mengejut petang tadi.

Beliau memaklumkan, walaupun tidak mengenali mendiang secara peribadi, namun Sivaraj pernah bersama-sama mendiang menghadiri program  di Padang Serai.

“Saya telah menghentikan semua kempen serta-merta sebagai menghormati pemergian mendiang dan saya masih menunggu kenyataan rasmi dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Pun begitu, saya dimaklumkan daripada sumber-sumber tidak rasmi pilihan raya bagi kerusi P.017 Padang Serai mungkin akan ditunda ke satu tarikh lain dengan proses pencalonan akan dilakukan sekali lagi,” katanya ketika ditemui di Pusat Gerakan Utama  BN di sini, pada Rabu.

BACA: Calon PKR Padang Serai M Karupaiya meninggal dunia

Sivaraj menambah, namun begitu beliau akan mengekalkan momentum untuk terus bekerja kepada rakyat Padang Serai.

Mendiang Karupaiya, 69, meninggal dunia di Hospital Kulim, di sini kira-kira pukul 2.20 petang.

Berita sedih mengenai pemergian mendiang yang juga penyandang kerusi Parlimen Padang Serai itu disahkan oleh anak perempuan beliau, Dippah Karupaiya ketika dihubungi ASTRO AWANI.

Difahamkan mendiang dimasukkan ke Hospital Kulim awal pagi Isnin lalu selepas mengadu sakit perut.

Laporan kematian menunjukkan punca kematian mendiang  adalah akibat serangan jantung.

Antara pemimpin yang hadir memberi penghormatan terakhir adalah calon Patlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Dalam PRU14,  Karupaiya menang dengan majoriti 8,813 undi.

Pada PRU15 ini,  kerusi Parlimen Padang Serai menyaksikan persaingan enam penjuru dengan calon dari Barisan Nasional, Datuk Sivaraj Chandran, Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Amanda AK dari bebas.