IPOH: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing mengesahkan dirinya positif COVID-19 selepas melakukan ujian kendiri hari ini.

Dalam catatan di Facebooknya, Kar Hing memaklumkan, ujian kendiri dilakukan sebanyak dua kali selepas dia mengalami tanda-tanda kurang sihat.

Menurutnya, keputusan kedua-dua ujian itu menunjukkan yang beliau sah dijangkiti COVID-19.

“Saya memohon maaf berkaitan perkara ini dan mengambil keputusan untuk memaklumkannya secara terbuka.

"Kepada sesiapa yang pernah berjumpa saya dalam sehari dua ini, saya mohon anda menjalankan ujian kendiri bagi mengenal pasti tahap kesihatan masing-masing," katanya di sini hari ini.

[LAPOR LANGSUNG] Gelanggang PRU15 sudah dibuka, calon penuh ada di sini

RUJUK SENARAI CALON PRU15 DI SINI


Menurut Kar Hing, beliau akan menjalani kuarantin kendiri di rumah selama lima hari sehingga Jumaat ini.

Bagaimanapun, katanya, segala program yang telah disusun oleh jentera akan berjalan seperti biasa.

"Segala program berbentuk jelajah, lawatan muhibah, ceramah diteruskan secara dalam talian sehingga tamat tempoh kuarantin," ujarnya.