KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan umumkan senarai calon untuk lapan kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 22 Oktober di Sibu dan 23 Oktober di Kuching.

Pengerusinya Chong Chieng Jen mengesahkan lapan kerusi itu adalah Bandar Kuching, Stampin, Mas Gading, Serian, Sarikei, Sibu, Lanang and Bintulu.

Tambahnya, komponen parti Pakatan Harapan (PH) Sarawak juga telah mencapai persetujuan di mana Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan bertanding di 18 kerusi manakala lima kerusi selebihnya untuk Parti Amanah Negara (Amanah).

“Dalam mesyuarat terakhir PH, kita muktamadkam bertanding di lapan kerusi. Sebelum ini Kapit juga DAP tetapi atas nasihat penyokong di akar umbi yang merasakan bahawa PKR mempunyai calon yang lebih baik jadi kita biarkan mereka bertanding. 

“Jadi hubungan kerja antara parti PH di Sarawak adalah sangat baik. Kita semua bekerjasama untuk cuba menawan sebanyak mungkin kerusi dan membantu untuk menawan Putrajaya,” katanya.

Chong yang juga penyandang parlimen Stampin itu berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang STPM Parlimen Bandar Kuching dan Stampin di Ibu Pejabat DAP Sarawak pada Selasa.

Dalam pada itu Chong berkata tidak semua penyandang kerusi parlimen DAP akan mempertahankan kerusi masing-masing sekali gus memberi bayangan kemungkinan berlaku pertukaran kerusi sesama penyandang ataupun meletakkan calon baharu.

Untuk makluman DAP Sarawak akan bertanding menggunakan logo parti berbanding PKR dan Amanah menggunakan logo PH.

PRU14 menyaksikan DAP Sarawak berjaya memenangi enam daripada sembilan kerusi ditandingi, PKR menang empat daripada 15 kerusi, manakala Amanah kalah di semua enam kerusi ditandingi.