GEORGE TOWN: DAP mempertimbangkan bertanding lebih 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, pertambahan kerusi itu adalah disebabkan faktor perbezaan jumlah parti komponen Pakatan Harapan (PH) berbanding sebelum ini.

Katanya,meskipun perundingan mengenai pembahagian kerusi ditandingi belum selesai, beliau mengesahkan ada pertambahan kerusi yang bakal ditandingi dengan mengambil alih kerusi ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU14.

"Sudah tertentu ada perbezaan sebab parti komponen sudah berbeza, jadi sudah tentu ada perbezaan (dari segi tambahan kerusi).

"Sudah tentu kita membincangkan mengenai pertambahan kerusi untuk ditandingi. DAP selama ini kita bertanding hanya 19 daripada 40 kerusi, tetapi ada juga kemungkinan kita nak membincangkan pertambahan kerusi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Jentera Pilihan Raya DAP Pulau Pinang di Komtar, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan juga Veteran DAP, Lim Kit Siang.

Mengulas mengenai calon muka baharu, Loke berkata, setakat ini kepimpinan negeri belum mengemukakan senarai calon dan keputusan  mengenai calon hanya akan diputuskan selepas Parlimen dibubarkan.

Katanya, calon muka baharu adalah lumrah dalam setiap pilihan raya namun yang penting adalah DAP  mahu menguatkan jentera demi mengekalkan kemenangan 100 peratus  di semua kerusi ditandingi DAP yang sudah tiga penggal memegang tampuk kepimpinan di negeri itu .

Mengulas mengenai persiapan jentera pilihan raya, Loke berkata, secara keseluruhannya jentera DAP seluruh negara sudah bersiap sedia menghadapi PRU15.