KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kegiatan “ulat tiket” yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlipat ganda sempena penganjuran pelbagai acara bertaraf dunia di Malaysia sepanjang bulan ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh berkata acara itu termasuk Perlumbaan Formula 1 (F1) Grand Prix (GP) Gulf Air Bahrain di Malaysia 2026 yang bermula esok serta MotoGP pada hujung Oktober.
“Saya faham keterujaan orang ramai, pasti ada yang sanggup menabung untuk menantikan acara elit permotoran ini tetapi jangan sampai keterujaan itu membuka peluang kepada ulat tiket mengaut keuntungan dengan menawarkan harga berkali ganda lebih mahal.
“Lebih membimbangkan, pembelian melalui penjual tidak rasmi boleh mendedahkan kita kepada penipuan. Sudahlah bayar pada harga yang tinggi tetapi tiket tidak sah dan akhirnya kita yang terpaksa menanggung kerugian,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Sehubungan dengan itu, Fuziah mengingatkan orang ramai supaya menyemak saluran rasmi penganjur serta syarat pembelian sebelum membuat pembayaran dan tidak mempercayai tangkap layar atau iklan luar daripada saluran rasmi.
“Pesan saya, biar kita pulang membawa kenangan manis, bukannya rasa terkilan ditipu. Gunakan kuasa sebagai pengguna dengan membeli menerusi saluran rasmi untuk mengelakkan kita daripada menjadi mangsa penipuan ulat tiket,” katanya.
-- BERNAMA