GEORGE TOWN: Malaysia masih jauh daripada mencapai sasaran untuk mengubah 3,000 pengilang menjadi kilang pintar menjelang 2030, dan setakat ini hanya 93 daripadanya berjaya melengkapkan transformasi tersebut.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata 161 lagi syarikat kini sedang dalam proses transformasi dan dijangka melengkapkannya menjelang Disember 2026.
“Di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kami menyasarkan untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar, namun malangnya, kadar penerimaan masih sangat rendah.
“Hanya 93 yang telah berjaya berubah, manakala 161 lagi sedang dalam proses untuk mencapainya menjelang 2026.
“Jadi, kita masih jauh daripada sasaran 3,000 tersebut,” katanya kepada media selepas melancarkan Anugerah Pembuatan Pintar Malaysia (MSMA) 2027 di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan kini sedang memberi tumpuan untuk membantu pengilang yang kekurangan kapasiti kewangan dan keupayaan untuk mengguna pakai teknologi pembuatan pintar.
“Sesetengah syarikat mampu menguruskan diri sendiri. Bagaimanapun, kerajaan mahu membantu mereka yang berdepan kesukaran, serta tidak mempunyai kapasiti kewangan dan keupayaan untuk berubah,” tambahnya.
Sim berkata MSMA boleh membantu memberi inspirasi kepada lebih banyak pengilang untuk mengguna pakai automasi dan pembuatan pintar, termasuk pengilang daripada pelbagai sektor seperti semikonduktor, pemesinan, perabot dan automotif sebagai mengambil langkah ke arah automasi.
“Kami berharap menerusi MSMA, kami dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada lebih banyak kilang untuk mencapai matlamat itu, agar kita boleh mencapai sasaran 3,000 itu.
“Kami turut menggesa semua pengilang daripada semikonduktor termaju hingga pemesinan, selain perabot atau industri automotif, serta semua industri yang terlibat dalam pembuatan untuk mengambil langkah berani untuk melaksanakan automasi,” tambahnya.
Pada masa sama, NIMP 2030 telah mengenal pasti transformasi 3,000 kilang pintar sebagai Projek Berasaskan Misi 2.1 di bawah misinya untuk memacu teknologi dan pendigitalan dalam sektor pembuatan.
Sementara itu, Sim berkata, MSMA 2027 bertujuan mengiktiraf pengilang yang telah mengambil langkah berani untuk melaksanakan pembuatan pintar, sama ada dari segi proses atau automasi.
“Ini merupakan arah hala tuju negara untuk melangkah maju, kita memerlukan lebih banyak kilang melaksanakan pembuatan pintar dan automasi serta mengautomasikan proses mereka, malah rekod audit dan pelbagai proses lain juga perlu diautomasi," tambah beliau.
-- BERNAMA