KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) berhasrat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan yang berupaya membentuk kerajaan Persekutuan yang stabil dan memberikan manfaat kepada rakyat, kata Setiausaha Agung GPS Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata GPS sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat dan enggan berdepan terlalu banyak ketidaktentuan seperti mempunyai beberapa perdana menteri dalam satu penggal seperti yang berlaku ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Sejak dahulu lagi, misi kami adalah untuk memastikan Malaysia ditadbir oleh kerajaan semasa yang stabil dan boleh menumpukan kepada pemulihan ekonomi selain mengambil kira segala aspek demi kebaikan rakyat," katanya pada sidang media selepas merasmikan bangunan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sarawak di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis bahawa Barisan Nasional (BN) memerlukan bantuan daripada rakan BN Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang stabil meskipun beliau yakin BN mampu menguasai lebih 112 kerusi Parlimen pada PRU15.

"(Selepas pilihan raya) kita akan bertemu (untuk berbincang sebarang tawaran kerjasama antara gabungan) kerana apa yang lebih penting adalah sesiapa sahaja yang kita bekerjasama, kita mesti yakin bahawa kerjasama itu akan bermanfaat kepada negara. Sudah tentu kita mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan," kata Nanta.

-- BERNAMA