KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) masih menunggu rundingan membentuk Kerajaan Persekutuan, kata pengerusinya Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya setakat ini belum ada mana-mana pihak yang menghubunginya bagi menyatakan hasrat tersebut.

Kata Abang Johari ia mungkin disebabkan proses pengiraan undi yang belum selesai sepenuhnya terutama di Semenanjung Malaysia.

“(Kita runding) apabila mereka menghubungi saya lah. Setakat ini belum ada, mungkin di sana masih menghitung undi.

“Jadi saya buat sidang media awal sebab kasihan kamu menunggu lama.

"Kita GPS memang kasihan dengan orang,” katanya kepada sidang media semasa menghadiri Majlis Penantian Keputusan PRU15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Sabtu.

Sementara itu mengulas berkenaan tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri tegasnya GPS tidak mahu tawaran kosmetik semata-mata.

“Kerana mereka menawarkan jawatan sahaja, kita perlukan kuasa kalau tiada kuasa tidak ada guna juga. Dahulukan MA63.. tapi kalau mereka tawarkan ia bersama kuasa kenapa tidak?

“Tunggu sahaja dahulu, kita belum membentuk kerajaan persekutuan dan mereka belum lagi menghubungi saya,” katanya.

Setakat ini GPS telah sah memenangi 21 daripada 29 kerusi iaitu pertambahan tiga kerusi berbanding PRU14.

Manakala keputusan tidak rasmi kerusi Baram dan Limbang juga memihak kepada GPS dan belum dapat dikira rasmi kerana masih menunggu kotak undi dihantar daripada kawasan terjejas banjir itu.