PAPAR: Gabungan Rakyat Sabah akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas Datuk Rubin Balang sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong itu secara terang-terangan menyokong calon Bebas yang juga ahli Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, laporan lengkap perlu diperoleh dan diteliti sama ada benar Rubin berkempen dan menyokong calon Bebas, Riduan Rubin, yang juga anaknya.

"Kita mesti adil kepada semua kalau dia terlibat secara langsung kita boleh ambil tindakan, saya akan minta laporan dahulu.

"Kalau dari segi gambar sahaja... duduk dengan anak, kita tidak boleh ambil tindakan, tetapi kalau betul dia menyokong secara terang-terangan, kita akan ambil tindakan," kata Hajiji ketika diminta mengulas mengenai dakwaan gambar Rubin dan calon Bebas bersama kepimpinan Parti KDM pada Jumaat.

Selain itu, Hajiji memaklumkan Riduan bukan lagi ahli Bersatu dan sudah keluar daripada parti itu sebelum penamaan calon pada 5 November lalu.

Rubin merupakan ahli Bersatu Tenom.


Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa GRS mengambil tindakan disiplin terhadap Rubin yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada PRU15.

Ia berikutan pembabitan Rubin selaku wakil rakyat mesra GRS, yang didakwa menjadi dalang dalam penyertaan calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin yang juga anaknya ke dalam Parti KDM, pada Jumaat.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, tindakan itu bertentangan dengan perjanjian GRS-BN selain tidak mencerminkan semangat setiakawan yang dimeterai di antara kedua-dua gabungan berkenaan.

Riduan yang merupakan salah seorang calon Bebas dalam pertembungan lima penjuru di Parlimen Tenom disahkan menyertai Parti KDM.

Dalam saingan lima penjuru di Tenom melibatkan penyandangnya Noorita Sual daripada Pakatan Harapan (PH), Jamawi Jaafar (Barisan Nasional-BN), Ukim Buandi (Warisan) serta calon Bebas iaitu Riduan dan Peggy Chaw Zhi Ting.