KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang akan keluar mengundi pada hari Sabtu ini berpeluang untuk menyelamat dan melakukan perubahan menyeluruh untuk memulihkan negara, sekali gus melakar masa depan mereka, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam perutusan khas beliau hari ini, calon Perdana Menteri Pakatan Harapan (PH) itu berkata, apa yang diperlukan saat ini adalah sistem ekonomi yang membela nasib rakyat yang hanya boleh dicapai dengan sebuah kerajaan yang stabil.

"Sebuah kerajaan itu akan menjadi stabil jika ia patuh pada Perlembagaan. Ini termasuklah memelihara agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, penetapan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu.

"Sementara itu, hak setiap rakyat berbilang kaum akan terus dipelihara dan maruah mereka dihormati laksana sebuah keluarga.

"Sebuah kerajaan itu akan menjadi stabil jika para pemimpinnya berkhidmat demi rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri.

"Sebuah kerajaan itu akan menjadi stabil jika pemimpinnya punyai akhlak, menolak rasuah dan menjunjung kedaulatan undang-undang," kata Anwar dalam perutusan yang disiarkan di laman sosial rasminya, pada Khamis.

Menurut Pengerusi PH itu juga, sekiranya PH mengambil alih kerajaan, beliau tidak akan mengizinkan bertunasnya permusuhan dan kebencian sesama kaum, sebaliknya akan bekerjasama dengan semua bagi mencorak masa depan yang lebih baik untuk negara.

"PH menawarkan suatu formula kestabilan kerajaan kepada rakyat Malaysia yang akan melaksanakan dasar-dasar untuk mengembalikan kegemilangan negara.

"PH terdiri daripada satu pasukan yang komited terhadap agenda yang mengangkat budaya ihsan dan rahmah buat seluruh rakyat Malaysia.

"Pemimpin kita telah membuktikan kejujuran dan integriti mereka. Menerusi khidmat mereka kepada rakyat, kita akan memulihkan keyakinan antara rakyat dengan kerajaan," kata Anwar lagi.