BAGAN DATUK: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, dakwaan beliau akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya UMNO dan Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan usaha pihak-pihak tertentu untuk memecahbelahkan parti.

Dalam masa sama, Presiden UMNO itu menjelaskan, parti itu mengekalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April lalu yang menamakan Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri.

“Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong yang mana pada hemat baginda seseorang Ahli Parlimen itu mempunyai sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen lain.

“Jadi, jika ada parti pembangkang yang ‘menamakan’ orang lain selain daripada Datuk Seri Ismail Sabri, itu adalah usaha untuk memecahkan UMNO dan BN,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, di sini, pada Ahad.

Ahmad Zahid berkata demikian sebagai mengulas dakwaan beberapa pemimpin pembangkang  bahawa penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk itu akan dinamakan sebagai calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU15.

Pada bulan lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan turut menafikan kenyataan yang mendakwa Ahmad Zahid dinamakan sebagai calon Perdana Menteri seperti yang tular di media sosial.

Sementara itu, ditanya mengenai hasrat Mohamed Tawfik yang juga anak bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr Ismail untuk bertanding PRU15 di kerusi Bagan Datuk pula, Ahmad Zahid berkata, sesiapa sahaja berhak untuk bertanding di mana-mana kawasan.

Apa lagi, kata Ahmad Zahid yang sudah lima penggal berkhidmat di situ, Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi, justeru, amalan itu harus diraikan.

“Dengan tidak mahu untuk merendahkan sesiapa kita mengalu-alukanlah, anak siapa sekalipun, yang mahu menawarkan diri (bertanding) ke Bagan Datuk.

“Dan pengundi di Bagan Datuk, (saya yakin) tentunya (mereka) bijaksana untuk memilih antara ‘intan dan kaca’ dan tentunya mereka akan memilih calon yang terbaik yang akan mewakili mereka,” kata Ahmad Zahid lagi.

Pada Khamis, media melaporkan Mohamed Tawfik mengesahkan akan bertanding menentang Ahmad Zahid di Bagan Datuk dalam PRU15 ini.

Mohamed Tawfik yang merupakan pengasas Gerak Independent pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah BN pada tahun 80-an.