KUANTAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan negeri Pahang sebagai benteng akhir Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada November depan.

Jelasnya, jika dahulu Negeri Johor menjadi benteng terakhir, namun ia telah berubah selepas PRU ke-14 lalu.

"Saya nak beritahu Datuk Seri Hishamuddin, kalau dulu Johor mengatakan mereka benteng terakhir dan merupakan kubu kuat UMNO, namun PRU pada 2018 (PRU14) membuktikan kubu kuat UMNO dan benteng terakhir UMNO di negeri Pahang," jelasnya.

Tambah Ismail, track record kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail seharusnya dilihat oleh rakyat pada PRU kali ini.

"Kuasa yang menentukan untuk mendapatkan kerajan stabil demi kemakmuran adalah terletak kepada tuan-tuan dan puan-puan.

"Saya harap selepas 19 November depan, negeri Pahang serta Persekutuan akan dikuasai BN," katanya ketika berucap dalam Majlis Kenduri Rakyat Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini pada Ahad.

Turut hadir dalam majlis itu, Menteri Kanan Pertahanan yang juga Menteri Peneraju Aspirasi Keluarga Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.