IPOH: Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap ia adalah sesuatu yang malang untuk bekas Naib Presiden parti, Tian Chua memilih untuk bertanding secara bebas di Parlimen Batu.

Anwar, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan berkata, beliau selama ini melihat Tian Chua sebagai seorang reformis, dan merupakan aset kepada parti.

Namun, tegasnya lagi, seorang reformis tulen PKR tidak seharusnya mengambil langkah sedemikian, dan Tian Chua bakal berhadapan dengan tindakan berat ekoran langkah yang diambilnya itu.

“Untuk Tian Chua, ia adalah sesuatu yang malang untuk beliau mengambil jalan tersebut. Kerana beliau seorang yang penuh ketetgasan tentang sesuatu perkara. Tetapi reformis tidak seharusnya mengambil langkah begitu dalam karier politiknya.

“Jadi kami harus mengambil ketetapan yang perlu, dan berdasarkan polisi kebiasaan, mereka yang bertanding secara bebas atau meninggalkan parti untuk apa jua alasan, secara automatik dibuang parti,” katanya lagi.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon bagi Parlimen Tambun di Industri Latihan Perindustrian Ipoh, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Tian Chua, sah bertanding sebagai bebas, menentang penyandang Parlimen Batu dari PKR, P Prabakaran.

Tian Chua merupakan Ahli Parlimen Batu selama tiga penggal sejak 2004, sebelum hilang kelayakan bertanding pada PRU 2018.

Sementara itu, bercakap mengenai peluang di Tambun, Anwar berkata, beliau melihat ada peluang untuk dirinya, selain dua calon PH di DUN Hulu Kinta dan Manjoi.

“(Calon Perdana Menteri) merupakan antara tawaran saya di sini. Saya di sini untuk mengetuai kempen PH, untuk menawarkan alternatif kepada rakyat, selepas mengambil kira kegagalan kerajaan semasa dalam polisi khususnya berkaitan ekonomi

“Dan tidak dilupakan ketegangan sosial yang berlaku dalam komuniti. Saya percaya ia akan memberi nilai tambah,” katanya lagi.