JOHOR BAHRU: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan komitmennya untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Beliau dalam masa sama menzahirkan penghargaan terhadap pengundinya yang masih memberikan kepercayaan kepadanya untuk sekali lagi menerajui Muar.

“Saya terhutang budi kepada orang Muar kerana telah berikan peluang kepada saya untuk kembali berkhidmat bagi anda semua.

“Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada saya serta peluang yang terbaik untuk berkhidmat bagi penggal seterusnya.

“Masa untuk berpolitik sudah tamat. Kini masa untuk saya fokus berkhidmat dan saya bertekad untuk bekerjasama dengan semua pihak merentasi semua parti untuk bangunkan Muar,” katanya menerusi kiriman video hari ini.


Ujarnya lagi, Muar perlu dibangunkan tanpa mengambil kira soal perbezaan ideologi politik dan akan terus melaksanakan tanggungjawab meskipun terhadap pihak yang tidak menyokongnya pada PRU15.

Syed Saddiq yang juga bekas Menteri Belia Dan Sukan itu menang di kerusi Parlimen Muar apabila memperoleh sejumlah 19,961 undi meninggalkan calon dari Perikatan Nasional (PN), Abdullah Husin, 18,616 undi serta calon Barisan Nasional (BN) Mohd Helmy Abd Latif yang meraih 14,581 undi.

Majoriti undi sebanyak 1,345 sekali gus menyaksikan beliau terus mempertahankan Muar bagi penggal kedua.