TAPAH: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menjelaskan tiada sebarang masalah dalaman di kerusi Parlimen Gerik sekali gus menafikan dakwaan kawasan itu sebagai 'kelabu'.

Saarani berkata hasil lawatan dan pemerhatiannya di Kampung Jong, Gerik dua hari lepas, beliau dapat melihat respons masyarakat dan jentera BN di kawasan itu bertungkus lumus turun padang untuk memenangkan ketiga-tiga calon iaitu Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bagi Parlimen Gerik, calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Temengor Salbiah Mohamed dan Datuk Aznel Ibrahim bagi DUN Pengkalan Hulu.

"Dulu mungkinlah kerana katanya ada sedikit kekecohan kerana calon yang dibawa ke Parlimen itu bukan orang tempatan tetapi kekecohan itu telah berjaya ditangani.

"Nampaknya masalah dalaman tidak ada apa-apa dan tidak ada penolakan, tidak ada protes secara senyap dan saya percaya, kalau dulu orang kata kelabu kerana ada kekecohan itu tapi sekarang saya percaya ia (Gerik) sudah putih," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jambatan Baharu Kampung Orang Asli Sungai Lah di Chenderiang di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan bekas Ahli Parlimen Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang berpendapat kawasan Parlimen Gerik sebagai kawasan 'kelabu' pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

-- BERNAMA