ALOR SETAR: Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan bahawa wujud perbincangan bersama membabitkan pemimpin tertentu di dalam Pas dan UMNO berhubung strategi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut beliau yang mempertahankan kenyataan yang dibuat Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang semalam, perbincangan itu berada di peringkat tertentu dan tidak perlu didedahkan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu, menzahirkan rasa optimis perbincangan yang berlaku itu mampu membawa kepada rundingan rasmi melibatkan kedua-dua parti kelak.

"Saya rasa Timbalan Presiden UMNO mengakui (pada) suatu masa dulu, apabila ada pandangan daripada pimpinan Pas bahawa ada kerusi-kerusi tertentu boleh dibincang, kerusi yang mungkin dimenangi pihak ketiga, Pas dengan UMNO boleh berbincang untuk berunding, mungkin tidak berlaku pertembungan yang (akan) sebabkan pihak ketiga menang.

"Itu (telah) diakui oleh Timbalan Presiden UMNO sendiri, jadi itulah perbincangannya. Politik ini tidak semestinya terus berada di meja perundingan secara rasmi sahaja, secara tidak rasmi pun boleh," ujarnya.

Takiyuddin berkata demikian ketika ditemui media selepas berakhir Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-68 di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada Ahad.

Dalam perkembangan sama, beliau sekali lagi menegaskan bahawa Pas sentiasa berpegang kepada konsep penyatuan ummah dalam membentuk sebarang kerjasama namun tidak akan melibatkan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sekutunya didalam Pakatan Harapan (PH).

BACA: Muktamar Pas lulus usul penyatuan Melayu-Islam, teruskan kerjasama dengan UMNO

Pada Sabtu, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tiada sebarang rundingan oleh mana-mana pemimpin UMNO dengan Pas ketika ini seperti didakwa Abdul Hadi.

BACA: Tiada pemimpin UMNO berunding dengan Pas - Mohamad Hasan

Beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) setakat ini telah membuat keputusan untuk bertanding secara solo pada PRU15.

Mohamad juga berkata beliau juga tidak mengetahui sekiranya Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahidi Hamidi mengutuskan mana-mana pemimpin parti itu untuk berunding dengan Pas.