REMBAU: Calon muda Perikatan Nasional (PN) Mohd Nazree Mohd Yunus mengakui tidak gentar biarpun terpaksa berdepan dengan figura besar Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hassan di Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) kali ini.

Beliau yang ditemui selepas hadir pada proses Penamaan Calon di Dewan Seri Rembau, di sini pagi tadi menyatakan keyakinan untuk mengubah polar undian di kawasan tersebut kali ini.

"Agenda kita adalah untuk membawa perubahan di Rembau. Yang pentingnya ialah fokus membawa kebaikan khususnya kepada anak-anak muda dan masyarakat...

".. kerana hari ini anak-anak muda lebih cenderung soal tentang pekerjaan dan ekonomi untuk mereka" Katanya kepada media.

Tambahnya, Perikatan Nasional (PN) akan memberikan fokus untuk menyelesaikan soal tersebut ketika ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada jentera PN yang telah memberikan sokongan kepadanya sejak awal biarpun sebelum proses Penamaan Calon yang diadakan hari ini.

Berdepan dengan Mohamad atau Tok Mat, yang dianggap cukup besar, beliau percaya ia mampu diatasi dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh pengundi di sini.

"Saya yakin dengan kebijakan rakyat dan juga dengan media massa, dengan melaporkan suatu kempen yang betul dan tepat, rakyat dan anak muda boleh menilai dengan baik," katanya lagi.

Bapa kepada empat cahaya mata yang juga anak jati kawasan itu mengharapkan keputusan luar biasa akan dicatatkan di parlimen itu pada PRU-15 kali ini