PADANG SERAI: Calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Parlimen Padang Serai, Hamzah Abdul Rahman berkata, kepimpinan tertinggi Gerakan Tanah Air (GTA) serta Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) tidak perlu turun membantu kempennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ketua Bahagian Putra Padang Serai itu, ia adalah bagi memastikan kesemua pemimpin GTA itu mendapat rehat secukupnya selepas mengharungi tempoh kempen selama dua minggu sebelum ini.

Tambahnya, beliau juga memiliki kekuatan sendiri di kawasan Parlimen berkenaan memandangkan dirinya merupakan calon tempatan yang dikenali masyarakat setempat di Padang Serai.

Bagaimanapun jelas Hamzah, beliau tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk bersamanya bagi siri kempen termasuk Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali yang difahamkan akan turun ke Padang Serai dalam waktu terdekat.

"Bagi saya, kalau mereka hendak turun (membantu kempen) pun, saya cakap tidak payahlah, berehat dulu,  tidak apa (kempen) saya, biar saya yang (uruskan).

"Tetapi (saya nak fahamkan bahawa) pemimpin macam saya ini (adalah) daripada Parti Putra tetapi bertanding di bawah GTA (yang mana) kami menggunakan lambang Pejuang.

"(Saya dimaklumkan) Presiden Putra (Datuk Ibrahim Ali) memang hendak turun (berkempen), (tetapi) saya ingatkan dan saya cakap tidak apalah berehat dululah, mereka pun sudah teruk berkempen dulu.

"Tetapi saya rasa (jika) mereka nak turun juga, welcome...," katanya ketika sidang media khas Calon Pejuang Padang Serai di Pekan Padang Serai pada Jumaat.

[LAPOR LANGSUNG] Pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan PM ke-10

DAPATKAN LIPUTAN KERAJAAN PERPADUAN DI LAMAN MIKRO INI


Dalam perkembangan sama, Hamzah percaya beliau mempunyai peluang untuk menang di Parlimen berkenaan dan tidak akan menghadapi nasib yang sama dengan calon-calon Pejuang lain yang kehilangan deposit dalam PRU15.

"Saya adalah seorang yang dikenali terutama dalam kalangan alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Serai, memandangkan saya memegang jawatan sebagai Presiden Bekas-Bekas Pelajar SMK Padang Serai.

"Saya juga mengetahui cara yang terbaik dalam menyelesaikan masalah berbangkit dalam kalangan penduduk terutama membabitkan isu petani, saliran dan jalan raya berbanding calon-calon dari parti lain yang saya anggap sebagai 'calon import'," katanya.

PRU15 bagi Parlimen Padang Serai, yang akan diadakan pada 7 Disember depan bakal menyaksikan pertembungan enam penjuru.

Ia melibatkan Datuk Azman Nasrudin (PN), Datuk Sivaraj Chandran (BN), Mohamad Sofee Razak (PH), Hamzah Abdul Rahman (Pejuang), Amanda AK (Bebas) dan Mohd Bakri Hashim (Warisan).

PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditunda ke tarikh baharu susulan kematian calon PH yang juga penyandang kerusi berkenaan, M Karupaiya pada 16 November iaitu beberapa hari sebelum hari pengundian.