SUBANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Pakatan Harapan (PH) mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Pengerusi PH itu berkata, PH telah melepasi angka majoriti mudah 112 dan akan menyediakan dokumen bagi menghadap Istana Negara.

Beliau bagaimanapun, tidak mendedahkan bilangan kerusi dimenangi PH ataupun parti yang menyokong PH untuk membentuk kerajaan.

“Kita menerima keputusan dan menghormati mandat rakyat dan seperti kita sedia maklum PH adalah gabungan besar yang memenangi PRU15.

Tiada parti yang memperoleh majoriti dalam Parlimen dan ini memerlukan proses perbincangan. Saya ingin maklumkan kami (PH) mencapai persefahaman dan persetujuan untuk membentuk kerajaan apabila diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Inilah gabungan pertama daripada blok terbesar yang telah memperolehi jumlah mencukupi untuk bentuk kerajaan dengan suara majoriti,” katanya dalam sidang media, awal pagi Ahad.

Anwar yang juga Presiden PKR turut menafikan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa PN berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

“Itu tidak terjadi, ia adalah mustahil kerana kami mempunyai angka dan akan memaklumkan kepada Istana Negara,” ujar Anwar lagi.

Menurut Anwar, dokumen pembentukan kerajaan PH akan dihantar ke Istana Negara sebaik sahaja dilengkapkan.