BAIK Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Barisan Nasional) mahupun Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perikatan Nasional) dan terkini Rafizi Ramli (Pakatan Harapan), kesemuanya mengharap dapat meminang parti dari Sarawak selepas 19 November ini untuk membentuk kerajaan.

Alasan kesemua pemimpin itu cukup kuat, kerana dibayangkan semua parti ini akan memiliki kekuatan seimbang.

Dan parti dari Sarawak, akan menjadi ‘penentu’ atau ‘kingmaker’ dalam rundingan yang bakal berlangsung.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Ahmad Maslan, mahupun Rafizi, secara terang-terangan berkata, mereka hanya akan berunding dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Justeru, sudah pasti, selepas pukul 7 malam esok, telefon bimbit Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan panas dan tidak henti berdering.

Ia sebenarnya gambaran berlaku pada hari ini, setelah masing-masing parti percaya bahawa GPS, dijangka memiliki lebih 26 kerusi bakal memiliki undi penentu.

Abang Johari memahami situasi yang berlaku, kerana beliau melaluinya dua kali sekak 2020.

Kerana itu beliau tidak mudah melatah sejak menerima pelawaan awal atau mengumumkan sebarang kerjasama, kerana itulah keistimewaannya apabila memiliki kunci kepada pembentukan kerajaan.

“Kita bernasib baik kerana kini kita mengagih sendiri watikah kepada setiap calon dari parti ini. Justeru itu kita tidak terikat,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Siapa sahaja yang dipilihnya kelak, beliau pasti tidak akan melakukannya tergesa-gesa.

Abang Johari pasti akan melakukan rundingan dengan teliti, kerana menurutnya, ketika ini yang paling diutamakan ialah kestabilan negara.

“Negara akan berhadapan episod getir kegawatan ekonomi pada tahun hadapan, justeru kerajaan yang stabil amat perlu,” ujarnya ketika menjawab soalan media dalam salah satu programnya di luar bandar baru-baru ini.

Bagi Abang Johari, 72, beliau enggan memikirkan perkara tersebut, kerana belum tiba masanya.

Sebaliknya, beliau hanya akan menyeberang bila sampai ke tebing sungai.

Justeru, pada ketika ini, beliau akan memberi tumpuan kepada usaha memenangi kerusi Parlimen terlebih dahulu.

Biarpun sedar beberapa kawasan berhadapan halangan, Abang Johari sebenarnya memiliki selera besar, beliau mahu semua kerusi di Sarawak diberikan kepada GPS.

“Ini adat bertanding. Kita bertanding untuk menang. Menang semuanya,” katanya lagi.

Premier Sarawak ini tidak pernah ambil mudah perihal pilihan raya, kerana beliau sendiri mengetuai jentera kempen, terbang ke seluruh pelosok negeri untuk berkempen sehingga lima kawasan dalam sehari.

Menariknya, sambutan yang diterimanya cukup baik; memudahkannya memberikan naratif terbaik mengenai masa depan Sarawak.

Puncanya, Abang Johari bukan ‘hot air’ seperti dituduh Chong Chieng Jen, sebaliknya, merealisasikan apa sahaja yang disebut dan dijanjikannya kepada rakyat sehingga sejak 2017, telah menjayakan 120 inisiatif, yang  kebanyakannya ‘besar dan gah’ untuk Sarawak.

Kerana itulah sebenarnya, seperti Pilihan Raya Negeri Sarawak lalu, PRU-15 turut memberi naratif yang sama.

Ketika risikan banyak pihak mengatakan GPS hanya mampu menang 72 daripada 82 yang dipertandingkan, parti ‘muda’ itu menang 76 kerusi; membenam terus Parti Keadilan Rakyat serta ‘memancung’ kaki dan tangan Parti Tindakan Demokratik (DAP).

Oleh yang demikian, Abang Johari dengan pengalaman politiknya yang rencam dan pelbagai meletakkan sasaran besar, 31 kerusi.

Yang pasti, rakyat akan memangkah GPS esok kerana mahu Abang Johari terus bersuara.

Mahu Abang Johari terus dihormati, kerana di tangannya hak-hak Sarawak telah berjaya dikembali dan dinikmati.

Sarawak kini menikmati cukai jualan gas dan minyak kerana ‘kerja rumah’ yang dilakukan Abang Johari.

Rakyat juga terhutang budi kerana beliau telah memastikan seluruh negeri ini berjaya menikmati manfaat pembangunan termasuk laluan jalan raya, jambatan serta kemudahan internet, sedangkan baharu berkuasa lima tahun.

Beliau memberikan rakyat apa yang mereka mahu, menggambarkan dirinya sebagai pemimpin yang sebenar, pemimpin yang membuka telinga dan turun pandang tatkla mendengar rakyat susah dan terhimpit.

Beliau juga pemimpin yang memejamkan matanya kepada politik, kerana mahu perut dan kesejahteraan rakyat diutamakan ketika COVID-19.

Kerana itulah Misi 31 yang dicanangnya bukan lagi mimpi. Tidak mustahil ia menjadi realiti, kerana amat jelas di sana sini, rakyat Sarawak kini bersatu hati.

Yang penting, kepada 1.9 juta pemilih di Sarawak, lakukan tanggungjawab anda dengan hati, bukan emosi.

Fikirkan realiti masa depan, bukannya janji yang tidak tertunaikan. Selamat mengundi.