KUALA LUMPUR: Parti politik di Sabah boleh menjadi king maker dalam menentukan pentadbiran kerajaan persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Pentadbirdan dan Sains Polisi UiTM Sabah, Raheezal Shah Abdul Karim, perkara itu pernah berlaku pada parti politik di Sarawak pada PRU14 lalu.

"Di Sabah, selama ini terdapat di kalangan pemimpin politik bawahan merasakan cara pemimpin parti politik Sarawak menjadi king maker lebih berkesan berbanding Sabah.

"Kali ini Sabah juga ingin menjadi king maker supaya tuntutan berkaitan MA63 (Perjanjian Malaysia 1963) dapat dipenuhi. Kita nampak Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) akan bekerjasama, walaupun di peringkat pusat ia tidak berlaku.

"Di blok sebelah pula kita ada Warisan yang akan bertanding di semua 25 kerusi, begitu juga Pakatan Harapan (PH). Ini amat menarik kerana Warisan tidak ada bersama PH, tetapi BN akan membentuk kerjasama dengan GRS," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Sabtu.

Tambah Raheezal, meskipun terdapat kerjasama yang dilihat terjalin di antara parti tertentu di Sabah dan peringkat pusat, namun beliau yakin ianya boleh berubah selepas keputusan PRU15 nanti.

"Pada hujungnya kita nampak sama ada baik pemimpin Warisan, atau GRS dan BN adalah mereka sering kali menyatakan pada kali ini 'kita akan jadi king maker, kita akan tentukan siapa akan jadi kerajaan di peringkat persekutuan'.

"Jadi, pada peringkat ini apa pun kerjasama persefahaman parti Sabah dan Semenanjung, bagi saya ia cuma sah setakat pada malam pilihan raya. Selepas keputusan keluar nanti, saya yakin ia akan berubah," ujarnya lagi.

Dalam PRU14 lalu, PH berjaya menguasai Sabah dengan kerjasama parti Warisan, UPKO, PKR dan DAP.

Bagaimanapun selepas pembubaran DUN bagi memberi laluan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada tahun 2020, ia menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dianggotai Parti STAR Sabah, Parti Sabah Progressif (SAPP), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Barisan Nasional (BN) berjaya membentuk kerajaan negeri baharu.

Pada PRU15 kali ini, sebanyak 25 kerusi Parlimen di Sabah dijangka menyaksikan pertembungan menarik di antara GRS, PH dan Warisan.