KUALA LUMPUR: Seorang bekas anggota tentera, Ismail Rasep, 76, dilaporkan hilang sejak 18 Mei lalu selepas keluar dari rumah anaknya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Setapak.
Menurut anak bongsunya, Nuri Ismail, 41, bapanya keluar dari rumah sekitar jam 2 petang selepas selesai makan tengah hari bersama ahli keluarga.
Katanya, ketika itu Ismail memaklumkan mahu membasuh tangan, namun disedari sudah tiada di dalam rumah tidak lama selepas itu.
"Abang ipar saya tidak perasan ayah keluar. Apabila disedari hilang, kami terus mencarinya di sekitar kawasan PPR tetapi gagal menemui sebarang petunjuk," katanya.
Keluarga kemudian membuat laporan polis dan usaha mengesan warga emas itu masih diteruskan sehingga kini.
Nuri berkata, ini merupakan kejadian kedua membabitkan bapanya sejak awal Mei lalu apabila beliau sebelum ini pernah dilaporkan hilang di Tampin, Negeri Sembilan sebelum ditemui semula di Setapak.
Katanya, bapanya dipercayai mengalami masalah ingatan dan kemurungan selepas kematian isterinya pada Februari lalu.
"Sejak itu ayah semakin pelupa dan kadang-kadang tidak mengenali ahli keluarga sendiri," katanya.
Menurutnya, beberapa maklumat orang awam diterima termasuk dakwaan melihat Ismail di sekitar Muzium Negara, Kuala Lumpur Sentral, Brickfields, Tugu Negara dan Bukit Aman, namun masih belum membawa kepada penemuan.
Ketika kali terakhir dilihat, Ismail memakai kemeja-T putih dan seluar gelap.Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi 0173200664 Honi; 01156417769l Nuri atau 016 2462484 Fuzi atau pihak polis bagi membantu usaha pencarian. -Sinar Harian