KUALA LUMPUR : Pakatan Harapan (PH) akan memberikan penjelasan kepada anggota dan penyokong akar umbi gabungan itu mengenai kerjasama dimaterai bersama Barisan Nasional (BN) bagi membentuk Kerajaan Persekutuan, pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurut Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil, penyokong PH juga dilihat positif dalam keputusan itu dan bersifat pragmatik dan praktikal.

"Mereka melihat ada keperluan, lebih baik usaha ini berbanding alternatif yang lain.

"Dari situ kita nampak dalam kalangan penyokong ada yang boleh terima dalam masa yang sama kita akan bagi penjelasan kepada anggota di peringkat akar umbi kenapa kita perlu usahakan langkah ini," katanya ketika ditemui pemberita sebelum beredar dari Hotel Seri Pacific, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, perkara utama ketika ini adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat dan mewujudkan keadaan yang lebih stabil.

"Kita lihat hari ini, Bursa Saham merudum, ringgit menjunam.

"Kita perlu lakukan sesuatu yang mampu memulihkan ekonomi dan saya percaya  ia menjurus ke arah itu," ujarnya.