KUALA LUMPUR: PKR dilaporkan bakal menamakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengumuman mengenai pencalonan bekas timbalan perdana menteri itu di kerusi tersebut dijangka dibuat pada Jumaat ini, lapor Malaysiakini.

PKR memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 menerusi Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum diganti oleh Datuk Kamaruddin Jaffar pada 2018.

Pada 2018, Kamaruddin memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti hampir 20,000 namun meninggalkan parti tersebut bersama kumpulan yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


"PKR sudah memenangi kerusi Bandar Tun Razak sejak 2008 tapi dua ahli Parlimen terdahulu akhirnya meninggalkan parti.

"Kami mengakui keyakinan pengundi kepada PKR (di kawasan berkenaan) tidak begitu stabil, justeru kami perlu meletakkan seorang pemimpin utama untuk mempertahankannya," lapor Malaysiakini yang memetik sumber.

Wan Azizah yang juga bekas Presiden PKR sebelum ini merupakan Ahli Parlimen Pandan dan Permatang Pauh.


Beliau meninggalkan Parlimen Pandan bagi memberi laluan kepada Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli bertanding di kerusi tersebut.