KUANTAN: Perikatan Nasional (PN) melihat peluang untuk memenangi dua kerusi Parlimen dan 16 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pusingan pertama berkempen berlangsung.

Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata berdasarkan situasi semasa 'separuh masa pertama' perjalanan kempen, sokongan yang ditunjukkan rakyat Pahang kepada PN agak memberangsangkan.

"Saya yakin sekurang-kurangnya kita boleh mengambil masing-masing satu kerusi Parlimen daripada Barisan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

"Bagi kerusi DUN, sebelum ini kita mempunyai lapan kerusi dan jumlah itu boleh digandakan kepada 16," katanya pada sidang media di Pejabat Parlimen Indera Mahkota di sini hari ini.

Pada PRU14 pada 2018, PN tidak mempunyai kerusi Parlimen di Pahang sehingga tahun 2020, sebelum Saifuddin yang menang di Parlimen Indera Mahkota atas tiket PKR yang menyertai Bersatu.

Bagi DUN Pahang, lapan kerusi yang disandang PN dimenangi Pas, iaitu di Beserah, Tanjung Lumpur, Panching, Damak, Tahan, Luit, Jengka dan Chenor.

Manakala BN menang di 25 kerusi DUN dan sembilan lagi dikuasai PH.

-- BERNAMA