MELAKA: Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) perlu terus menjadi jaringan sokongan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya dalam memastikan aspek pendidikan anak-anak serta kesejahteraan emosi keluarga anggota terus diberi keutamaan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata PERKEP bukan sekadar badan kebajikan, malah berperanan sebagai jambatan penghubung yang menyatukan warga pasukan melalui semangat kasih sayang, keprihatinan dan kebersamaan.
“Komitmen berterusan kepimpinan PERKEP dalam melaksanakan pelbagai program kebajikan turut membantu meringankan beban serta menjaga kesejahteraan ahli keluarga warga polis, terutama ketika anggota melaksanakan tuntutan tugas yang menuntut pengorbanan masa, tenaga dan emosi.
“Sesungguhnya, kejayaan dan keteguhan seorang anggota ketika melaksanakan tugas tidak hadir secara bersendirian, sebaliknya dipacu oleh sokongan padu daripada keluarga yang sentiasa mendoakan, memahami serta menjadi sumber kekuatan utama di belakang setiap langkah kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Kenduri Kesyukuran dan Hari Keluarga PERKEP Malaysia sempena Program Jelajah Wira MADANI 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini hari ini.
Hadir sama Pengerusi PERKEP Puan Sri Munirah Che Rose, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid dan Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata Program Jelajah Wira MADANI merupakan antara inisiatif yang berteraskan konsep Malaysia MADANI bagi menghargai dedikasi petugas barisan hadapan, selain merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat menerusi kegiatan kebajikan dan kemasyarakatan.
Beliau berkata pelaksanaan program itu turut menyemai semangat patriotisme dan meningkatkan kesedaran keselamatan, sekali gus membantu membina kepercayaan masyarakat terhadap integriti serta profesionalisme pasukan keselamatan.
Katanya, kenduri kesyukuran dan hari keluarga PERKEP itu juga memberi ruang kepada warga PDRM dan keluarga meluangkan masa bersama dan diharap dapat diteruskan sebagai platform mengeratkan hubungan antara kepimpinan PDRM, warga PERKEP dan seluruh keluarga besar pasukan.
Sementara itu, Munirah ketika berucap berkata PERKEP akan terus memperkukuh inisiatif kebajikan, pendidikan dan kesejahteraan keluarga PDRM menerusi pelbagai program yang memberi manfaat kepada ahli serta keluarga.
Beliau berkata usaha itu penting bagi memastikan PERKEP kekal sebagai persatuan yang prihatin, dekat di hati ahli, peka terhadap keperluan mereka dan sentiasa hadir ketika diperlukan.
Katanya, pada program itu juga PERKEP turut melancarkan maskot dan bendera rasmi hari ini, yang disifatkan sebagai satu lagi sejarah buat persatuan itu, selain menyampaikan wang ganjaran RM1,000 dan Sijil Penghargaan kepada setiap pemenang pertandingan mencipta maskot serta bendera rasmi.
-- BERNAMA