KOTA BELUD: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen P169 Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menawarkan rancangan komprehensif kepada pengundi Kota Belud bagi melonjakkan ekonomi daerah itu.

Beliau yang sedar sistem industri beras sedia ada lebih menguntungkan pemborong, pengilang, pengisar, dan pasaraya berbanding penanam padi dan berjanji akan memperjuangkan penyusunan semula sistem industri beras dan juga sawah padi di Kota Belud.

"Satu pendekatan baharu, penyusunan semula sistem industri beras dan juga sawah padi terutamanya di Kota Belud ini perlu dibuat.

"Jelapang padi untuk memberikan keselamatan makanan untuk rakyat Malaysia tetapi akhirnya kehidupan mereka (penanam padi) terabai.

"Bagaimana (cara) untuk mengagihkan kekayaan ataupun pendapatan daripada industri padi ini tidak melebihi kepada pemborong, pengilang, pengisar dan juga pasaraya sedangkan petani ini yang membanting tulang," ujar Rahman.


Dalam pada itu, Rahman turut merancang untuk membina sebuah jeti besar di Pulau Mantanani bagi menggalakkan kemasukan pelancong ke daerah itu.

Langkah tersebut menurut beliau akan menjamin keselesaan pelancong selain memberi peluang kepada Majlis Daerah Kota Belud (MDKB) menjana pendapatan melalui cukai ke atas penggunaan jeti terbabit.

"Untuk memberi keselesaan kepada pelancong tetapi yang lebih penting ialah majlis daerah boleh mengenakan cukai RM10 tiket mahu pergi ke Pulau Mantanani," kata Rahman.

Beliau turut menambah, pendapatan yang bakal diperoleh MDKB itu juga mampu menyelesaikan kekangan kewangan kerajaan tempatan dalam melaksanakan penyelenggaraan infrastruktur dan prasarana awam di sekitar Pekan Kota Belud.

Selain itu, isu banjir yang semakin teruk berikutan keadaan sungai semakin cetek akibat gempa bumi pada 2015 di daerah itu juga, menurut Rahman, mampu diselesaikan tanpa kos dengan menawarkan pasir sebagai upah kepada syarikat yang bersedia mendalamkan sungai-sungai di kawasan itu.

"Salah satu cara (mengatasi banjir) adalah mengorek sungai ini dan sungai ini kalau dikorek tidak perlu kos kepada kerajaan kerana siapa sahaja yang diberikan lesen untuk mengorek itu ambillah apa pasir itu sebagai pampasannya," jelas Rahman.