PELAKON dan pengarah, Ahmad Idham Ahmad Nadzri diumumkan sebagai calon bagi Gerakan Tanah Air (GTA) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi kenyataan rasmi kepada media, Idham berkata akan menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas segala nikmat yang telah Allah kurniakan kepada saya.

“Saya telah diberikan amanah yang besar sebagai calon P132 Parlimen Port Dickson oleh YABhg. Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Pengerusi Gerakan Tanah Air ketika Majlis Pengumuman Calon PRU15 GTA, Parti Pejuang Tanah Air di Bangi Convention Centre.

“Saya sentiasa berpegang kepada bicara gerak kerja lebih bermakna berbanding hanya ungkapan kata- kata.

“Saya akan menggalas tanggungjawab ini dengan penuh kesungguhan untuk meneruskan gerak kerja yang telah saya mulakan dengan lebih luas.

“Bukan hanya menfokuskan kepada komuniti istimewa semata-mata sebaliknya turut menyasarkan kepada rakyat dan penduduk di Port Dickson secara keseluruhannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Idham juga akan membuat penambahbaikan selain memperjuangkan serta menjadikan Port Dickson sebagai Hab Pendidikan Khas.

“Kestabilan ekonomi, penyelesaian permasalahan utama di sini, menggencarkan aktiviti pelancongan, penambahbaikan infrastruktur dan fasiliti awam serta menjadikan Port Dickson sebagai Hab Pendidikan Khas merupakan antara perjuangan utama yang sedang saya perjuangkan.

“Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada saya untuk melaksanakan amanah ini dengan baik kepada masyarakat di sini,” jelasnya.

Selain Idham, pelakon Datuk Seri Eizlan Yusof juga diumumkan sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA) bagi PRU15.

Jangan lupa undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini.

* Artikel asal disiarkan di Gempak.com