KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanahairku (STAR) sedia bertembung dengan Barisan Nasional (BN) sekiranya parti komponennya, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) berkeras ingin bergerak solo di Sabah.

Pembantu Setiausaha Agung STAR, Rizal Johari berkata, parti itu juga bersedia bersaing dan meletakkan calon di lima kerusi parlimen di Sabah mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Saya percaya ia permintaan yang adil (bertanding lima kerusi) kerana kami parti tempatan dan kami suara rakyat terutamanya bagi kawasan pedalaman Sabah di Parlimen.

"Sebagai parti tempatan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), STAR meneruskan perjuangan untuk memenuhi aspirasi sebenar seluruh rakyat negeri ini.

"Malah kami juga menghormati keputusan PBRS. Tetapi sekiranya GRS menang (PRU15), kami akan menyokong mana-mana blok yang akan membentuk kerajaan seterusnya demi rakyat sabah," katanya. beliau

Kenyataan itu dikeluarkan susulan gesaan Presiden PBRS, Tan Sri Joseph Kurup agar keputusan BN ingin bergerak solo dalam PRU15 diperluaskan ke Sabah.

Kurup sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap kerjasama GRS-BN yang dikhuatiri akan memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) berdasarkan kenyataan pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kemenangan GRS turut menyumbang kelebihan kepada gabungan parti itu di Semenanjung.