TANGKAK: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan, keputusan untuk menamakan beliau sebagai calon Perdana Menteri dibuat berdasarkan persetujuan pucuk pimpinan parti itu.

Ujarnya, perkara itu bertujuan bagi memastikan rakyat jelas berhubung siapa bakal calon Perdana Menteri yang perlu mereka putuskan.

Tegas Muhyiddin, tindakan itu jauh lebih baik berbanding parti lawan yang kelihatan masih tidak jelas berhubung kedudukan itu.

"Bila nak bentuk kerajaan rakyat tentu nak tahu, kalau bakal PM terdiri daripada kluster mahkamah atau bekas banduan, adakah rakyat nak pilih?

"Ini bukan soal mimpi siang hari, rakyat perlu tahu jelas, kena 'transparent' (telus) dan jangan menyorok.

"Dia cakap nak jadi kerajaan tapi bersekongkol dengan pihak lain dan namakan orang lain untuk jadi PM," katanya ketika ditemui selepas hadir sesi ramah mesra bersama penduduk kampung di sekitar Parit Raja pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sindiran Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendakwa PN hanya bermimpi di siang hari untuk menamakan semula Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri.

Ahmad Zahid beranggapan kerajaan PN telah gagal mentadbir kerajaan selama 17 bulan di bawah kepimpinan Muhyiddin.

Tambahnya lagi, di bawah pentadbiran Muhyiddin juga, Malaysia menjadi satu-satunya negara yang menggantung Parlimen kononnya kerana pandemik COVID-19.