PAPAR: Keghairahan Parti Warisan (Warisan) meletakkan calon di 26 kerusi Parlimen di Semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sebagai tindakan yang tidak akan membuahkan hasil, kata Lim Kit Siang.

Veteran DAP itu berharap nasib parti itu tidak seburuk seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Menurut Kit Siang, DAP sebelum ini telah mempelawa Warisan untuk membina hubungan kerjasama politik tetapi ditolak oleh parti tersebut.

"Saya difahamkan Warisan akan meletakkan 26 orang calon Parlimen di Semenanjung Malaysia.

"Kami di DAP mahu bekerjasama dengan Warisan untuk membina Malaysia menjadi sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia, namun, Warisan telah menolak tawaran kerjasama ini.

"Saya hanya mampu berharap yang cubaan Warisan dalam PRU15 di Semenanjung Malaysia tidak akan menjadi seburuk cubaan mereka dalam pilihan raya negeri Johor, di mana mereka meletakkan enam orang calon dan keenam-enam mereka semua telah hilang deposit,” ujar Kit Siang.

Dalam masa sama, Kit Siang berkata, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan calon yang tepat untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10.

Kewibawaan Presiden PKR itu, jelas Kit Siang, berdasarkan pendekatan pemimpin Melayu itu yang mengutamakan konsep Ketuanan Malaysia berbanding Ketuanan Melayu dalam konteks kepelbagaian komposisi kaum di Malaysia.

"Daripada empat orang calon Perdana Menteri ke-10 ini, hanya Anwar sahaja yang komited untuk menjadikan Malaysia sebuah negara majmuk hebat bertaraf dunia dengan melaksanakan dasar Ketuanan Malaysia dan bukannya Ketuanan Melayu.

"Anwar pertamanya adalah seorang rakyat Malaysia, Malaysian First dan semua pemimpin politik dalam negara Malaysia yang hebat perlulah seorang Malaysian First, tambah beliau.

Selain Anwar, tiga calon lain Perdana Menteri yang dirujuk Kit Siang ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Untuk rekod, DAP akan mempertandingkan tujuh calon Parlimen di Sabah pada PRU15 bagi mengekalkan penguasaan terhadap tiga kerusi penyandang dan empat kerusi baharu.

Tiga kerusi penyandang, Parlimen Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom bakal menyaksikan Chan Foong Hin, Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual bertanding semula atas tiket DAP.

Sementara, empat kerusi baharu ditandingi DAP ialah Parlimen Papar, Batu Sapi, Lahad Datu dan Keningau turut menampilkan wajah baharu iaitu Henry Shim Chee On, Liau Fui Fui, Oscar Sia Yu Hock dan Grelydia Gillod.