JEMPOL: Kenyataan terbuka penyandang kerusi Parlimen Jempol Datuk Seri Mohd Salim Sharif untuk kekal setia dan terus menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 disambut penuh kelegaan oleh calon baharu kerusi itu, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli.

Bukan itu sahaja, ia sekali gus menamatkan spekulasi yang bertiup sebelum ini kononya Mohd Salim akan menyertai parti lawan untuk menentangnya.

"Saya selaku calon dan juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian (Jempol) mengucapkan terima kasih, syukur Alhamdulillah kerana beliau telah membuat keputusan mementingkan parti yang didukung selama ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI di pejabat beliau di sini petang tadi.

Katanya, jiwa besar yang ditunjukkan itu melambangkan ketokohan yang ada di dalam dirinya selaku pemimpin.

Justeru jelasnya, fokus utama ketika ini seharusnya tertumpu kepda kerjasama erat sesama mereka dalam memastikan kemenangan  seterusnya bagi kerusi berkenaan.

Malah katanya, hubungan beliau dan Mohd Salim adalah baik dan tidak timbul sebarang masalah.

Walaupun pucuk pimpinan tidak memilihnya dalam PRU15 kali ini, jelasnya tiada sebarang isu yang sepatutnya menjadi halangan untuk mereka sama-sama bergandingan bagi memastikan kemenangan.

"Saya selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jempol, memberikan kerjasama terbaik kepada beliau. Tidak ada apa-apa masalah pun, cuma ini tiba-tiba Ibu Pejabat (UMNO) memanggil dan inilah keputusannya.

"Kita sebagai orang Islam yang percaya kepada Qada' dan Qadar ketentuan Ilahi. Saya anggap ia satu amanah," katanya lagi.

Bagi menzahirkan rasa terima kasih, beliau secara peribadi akan menghubungi Ketua Bahagiannya itu dalam masa terdekat.

"Ya, sudah tentunya. Saya sendiri akan menghubungi beliau dalam masa terdekat ini, Insya-Allah," tambahnya.

Pada PRU14 Datuk Seri Mohd Salim telah memenangi kerusi Jempol dengan majoriti 1,631 selepas memperolehi 26,819 undi.