MILAN: Legenda bola sepak Brazil, Ronaldinho mencipta kejutan apabila kembali beraksi dalam perlawanan kompetitif pada usia 46 tahun selepas lebih satu dekad meninggalkan pentas profesional.
Juara Piala Dunia 2002 itu membuat penampilan sulung bersama kelab divisyen ketiga Itali, Ravenna dalam aksi derby menentang Forli pada Ahad.
Menyarung jersi nombor 10 yang cukup sinonim dengannya, Ronaldinho diturunkan dalam kesebelasan utama dan beraksi sepanjang babak pertama perlawanan.
Ketika rehat separuh masa, beliau mengelilingi padang di Stadio Bruno Benelli sambil melambai kepada penyokong yang bangun memberikan tepukan penghormatan.
Ravenna mencatat kemenangan 2-0 ke atas Forli dalam saingan Serie C, dengan Ronaldinho memainkan peranan dalam jaringan pembukaan Giulio Donati pada minit ke-36 sebelum Simone Rabbi menggandakan kelebihan pada minit ke-58.
“Seronok dapat berada di sini, kembali bermain dan merasai semula suasana di bilik persalinan,” katanya kepada Sky Sport Italia.
Menurut Ronaldinho, pengalaman beraksi bersama rakan sepasukan yang membesar dengan menyaksikan permainannya menjadikan detik tersebut lebih istimewa.
Perlawanan itu merupakan aksi kompetitif pertama Ronaldinho sejak September 2015 ketika bersama Fluminense. Beliau kemudiannya mengumumkan persaraan rasmi pada tahun 2018.
Ravenna sebelum ini mengumumkan kemasukan Ronaldinho pada Jun lalu. Selain menyertai pasukan itu sebagai pemain, beliau turut memiliki pegangan saham dalam kelab berkenaan. Presiden Ravenna, Ignazio Cipriani, merupakan sahabat lamanya.
Sepanjang karier gemilangnya, Ronaldinho membantu Brazil menjulang Piala Dunia 2002, memenangi Ballon d'Or pada 2005 dan menjuarai Liga Juara-Juara UEFA bersama Barcelona pada 2006.
“Ia berlalu terlalu cepat. Begitulah bola sepak bagi saya selama ini,” katanya.
Ketika ditanya sama ada beliau akan membuat penampilan lagi bersama Ravenna, Ronaldinho berseloroh: “Jika presiden memanggil saya lagi, saya akan kembali.” - Agensi