KUANTAN: Young Syefura Othman menzahirkan penghargaan kepada warga Bentong selepas diberi mandat bagi kerusi Parlimen itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Menerusi kenyataannya di laman rasmi Facebook beliau, Young Syefura bersyukur dengan kepercayaan yang telah diberikan kepadanya untuk mengalas tugas sebagai Ahli Parlimen.

"Terima kasih Bentong! Alhamdulillah, bersyukur saya ke hadrat Ilahi kerana telah mengurniakan saya kejayaan ini.

"Terima kasih kepada semua warga Bentong yang telah memberikan kepercayaan kepada saya untuk menggalas tugas sebagai ahli Parlimen anda," jelasnya.

Mengakui majoriti yang diperolehnya adalah rendah, namun jelas Young ia menjadi pembakar semangat untuk bekerja keras demi warga Bentong.

"Saya kini adalah wakil rakyat kepada semua warga Bentong - tidak kira agama, bangsa mahupun pegangan politik.

"Saya akan menjalankan tugas saya sebaik mungkin agar matlamat dan visi saya untuk Bentong akan tercapai. Saya adalah suara kepada anda semua di Dewan Rakyat," katanya lagi.

Tambah Young, kemenangan yang dikecapinya juga hasil kerja keras setiap kumpulan sukarelawan yang membantu sepanjang kempen. 


"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua sukarelawan yang telah membantu saya sepanjang kempen ini.

"Ucapan terima kasih khas buat kumpulan sukarelawan PACA yang datang dari luar Bentong untuk membantu semua calon-calon Pakatan Harapan Bentong pada PRU15 kali ini.

"Kini sudah tiba masa untuk saya bekerja untuk Bentong yang kita sayangi ini. Saya mohon kerjasama dari semua pihak agar kita sama-sama dapat memajukan Bentong. Insya-Allah, amanat ini akan saya pikul dan laksana dengan sebaik mungkin," ujar Young Syefura.

Young dari Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan kerusi Parlimen Bentong meskipun bersaing sengit dengan pencabarnya daripada Barisan Nasional (BN), Tan Sri Liow Tiong Lai.

Beliau meninggalkan pesaingnya itu dengan majoriti 692 undi.

Mengikut perkiraan undi, Young Syefura memperoleh 25,075 undi berbanding Tiong Lai yang hanya meraih 24,383 undi.

Manakala calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Roslan Hassan pula meraih 16,233 undi dan dua lagi calon bebas, Mohd Khalid Abdul Hamid dan Wong Tack masing-masing meraih 168 dan 798 undi.

Kerusi Parlimen itu antara kerusi panas yang diberi tumpuan apabila BN mempertaruhkan bekas penyandangnya, Tiong Lai, manakala Young pula merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari sebelum ini.