MARANG: Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan tiada calon parti itu menarik diri pada saat akhir ketika proses penamaan calon bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15).

Ini kerana jelasnya, setiap calon Pas telah membuat sumpah janji setia apabila dinamakan sebagai calon parti sebelum ini.

“Tidak ada, bagi calon Pas kita adakan sumpah (bai’ah) supaya mereka setia kepada janji yang dibuat, sebaik dipilih menjadi calon.

“Secara keseluruhan, 64 calon dari Pas bertanding bagi merebut kerusi Parlimen dan selebihnya adalah parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam sidang media selepas disahkan menjadi calon bagi mempertahankan kerusi Parlimen Marang (P037).

Jelasnya, beliau yakin Pas dapat merebut sekurangnya 40 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Pelbagai strategi bakal digerakkan termasuk pendekatan di media sosial dan siri jelajah yang beliau sendiri akan turun padang ke seluruh negara.

Abdul Hadi bakal mempertahan kerusi Parlimen Marang (P037) berhadapan tentangan calon Barisan Nasional (BN) - Jasmira Othman, Pakatan Harapan (PH) - Azhar Ab Shukur dan Gerakan Tanah Air (GTA) - Dr Zarawi Sulong.

Pertandingan empat penjuru itu disahkan Pengurus Pilihan Raya Parlimen Marang, Lizan Che Mat pada 10.40 pagi selepas tempoh proses penamaan calon di Pejabat Daerah dan Tanah Marang ditutup pada 10 pagi.