MUAR: Kedudukan calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Muar, Abdullah Husin yang didampingi dua calon muda bukan satu perkara yang mampu menggugatnya.

Abdullah menegaskan, kelebihan dari segi aspek kebapaan terhadap dirinya dianggap bonus buat penduduk setempat yang tidak hanya tertumpu kepada faktor tertentu.

Ujar Abdullah yang juga Naib Pengerusi PN Johor itu, pengundi kini mempunyai ruang untuk membuat pilihan di kawasan itu.

“Saya yakin pengundi tidak hanya melihat satu aspek jika mereka bergantung kepada calon yang muda kerana saya ada aspek kebapaan, bapa yang penyayang, beri perhatian kepada anak-anak.

“Disebabkan latar belakang saya sebagai seorang guru dan juga pengetua sekolah, saya juga beri motivasi kepada remaja termasuk pasangan yang ingin berkahwin.

“Jadi InsyaAllah pengundi juga akan lihat aspek itu (kebapaan) serta pengalaman mengurus sewaktu jadi pengetua sekolah,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pihaknya mengakui mempunyai hubungan yang agak rapat dengan golongan remaja selain terlibat secara langsung dalam pelbagai aktiviti anak muda.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan hasrat untuk menambah baik soal pendidikan sedia ada berdasarkan pengalamnya sebagai ahli pendidik.

Sebelum ini, Abdullah yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Johor menyatakan hasrat untuk melahirkan ‘anak sulung’ dalam kalangan parti itu di Johor.

Ini susulan kedudukan Pas yang tidak pernah memenangi mana-mana kerusi di dalam pentadiran negeri Johor.

Sementara itu, Astro AWANI cuba mendapatakn calon Barisan Nasional (BN), Mohd Helmy Abd Latif bagaimanapun usaha itu gagal.

Difahamkan, pihak calon menyatakan ia berikutan jadual berkempen yang agak padat termasuk beberapa urusan di luar kawasan.