PASIR MAS: UMNO Kelantan berhasrat untuk bertanding di sembilan kawasan Parlimen dan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung kawasan mana yang akan ditandingi parti itu.

"Tidak perlulah saya sebutkan, malah kalau ada yang di luar sana kata bahawa UMNO Kelantan bercita-cita besar, sememangnya dalam pertempuran kita perlu bercita-cita besar, insya-Allah kita akan memperoleh sasaran (menang kerusi ditandingi) berkenaan.

"Untuk kerusi Parlimen pula tidak mustahil untuk kita letak sasaran itu memandangkan pada PRU-11 iaitu tahun 2004, kita pernah memperoleh kemenangan sembilan kerusi Parlimen," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera PRU15 Veteran UMNO Kelantan dan Perasmian Keluargaku Pengundi Barisan Nasional (BN) di Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Lubok Jong, Rantau Panjang, dekat sini hari ini.

Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata pihaknya kini giat meneliti dan membuat kajian untuk menentukan senarai calon yang bakal bertanding pada PRU15 sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Kalau boleh kita mahu mengetengahkan seramai mungkin muka baharu serta tidak meminggirkan kepimpinan yang ada dan muka lama kerana kombinasi ini amat penting," katanya.

Kelantan mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 45 kerusi DUN. Pada PRU14, BN Kelantan memenangi lapan kerusi DUN dan lima kerusi Parlimen.

-- BERNAMA