AYER KEROH: UMNO Melaka bersedia membuka ruang kepada mana-mana individu yang ingin bersama-sama memperkukuh parti itu termasuk bekas Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perkara itu sentiasa diamalkan oleh parti kerana dalam politik tiada musuh mahupun kawan yang kekal.

“Selaku parti politik kita tiada musuh atau kawan kekal dan siapa yang nak datang menyokong, kita (sentiasa) persilakan.

“Jadi kalau tuan-tuan tanya saya apakah UMNO mempunyai sikap terbuka terhadap keputusan dibuat oleh Mohd Rafiq, UMNO sentiasa bersikap demikian kerana siapa yang datang nak membantu kita persilakan,” katanya selepas Mesyuarat Khas Barisan Nasional (BN) negeri di sini malam tadi. 

Mengulas lanjut katanya, ruang diberikan itu juga membuktikan kerajaan yang dipilih rakyat Melaka sebelum ini adalah sebuah kerajaan yang stabil dan menjamin kemakmuran rakyat secara amnya.

Mohd Rafiq sebelum ini mengumumkan keluar daripada parti berkenaan sekali gus melepaskan semua jawatannya di dalam parti itu.

Peletakan jawatan itu susulan tidak dicalonkan parti di kerusi Parlimen Tangga Batu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) meskipun sudah dijanji oleh pucuk pimpinan sebelum ini.

Dalam pada itu, Ab Rauf yang juga Pengerusi BN negeri turut menasihati mana-mana pemimpin yang tidak dicalonkan untuk berlapang dada dan memberi sokongan penuh kepada calon yang diketengahkan.

“Kita telah memberikan gambaran di dalam mesyuarat kita sebentar tadi yang mana terpilih kita minta kerja bersungguh-sungguh dan jika tidak terpilih mereka perlu menyokong calon yang bakal diumumkan esok (hari ini).

“Ini bukan hak peribadi sebaliknya hak parti yang mana selama ini kita mesti faham bahawa perjuangan kita berlandaskan kepada kekuatan parti bukan kekuatan diri sendiri,” katanya.