TANJONG KARANG: UMNO Selangor menerusi Barisan Nasional (BN) yakin mampu menang dalam persaingan tiga penjuru menentang Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional (PN) di negeri tersebut, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata walaupun Selangor memberi cabaran kepada parti itu untuk mencapai kemenangan memandangkan jumlah pengundinya yang ramai, namun beliau yakin UMNO menerusi BN dapat memenangi lebih kerusi berbanding yang dimenangi parti itu pada PRU14.

"Saya tidak perlu umumlah (berapa kerusi dijangka menang), tapi lebih daripada PRU14," katanya kepada media pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Karang di sini, hari ini.

Noh juga meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Pas untuk menguburkan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN), sebaliknya memilih untuk bekerjasama dengan PN.

"Bayangkan kalau kami boleh bersama, saya yakin kekuatan kami kuat. Kami sentiasa mahukan penyatuan ummah, tetapi apa yang berlaku memaksa kami untuk bergerak solo," katanya.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan Khamis, telah membuat ketetapan untuk terus memperkukuhkan kerjasama dalam PN untuk menghadapi PRU15.

Keputusan Pas itu sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan oleh UMNO, iaitu parti ter-sebut perlu meninggalkan Ber-satu jika mereka mahu kekal bekerjasama dalam MN.

-- BERNAMA