IPOH: Parti Warisan (Warisan) memutuskan untuk tidak bertanding di kesemua kerusi terutama Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen terutama di semenanjung pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata partinya akan bersifat selektif dalam mengenal pasti kerusi yang dirasakan berpotensi untuk dimenangi.

Katanya faktor kawasan yang akan ditandingi Warisan juga akan dilihat dari pelbagai faktor termasuk kepadatan jumlah sesuatu kaum di sesuatu kawasan.

"Saya dah maklumkan, contohnya di Pahang, Terengganu. Kita parti berbagai bangsa, ada kawasan yang kita lihat, kita akan tinjau yang mana berpotensi. Yang penting kepada kita ialah memberi pilihan kepada rakyat," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan borang keahlian dan sembang santai di Ipoh pada Sabtu.

Pada majlis tersebut, lebih 1,000 borang keahlian baharu dari cawangan di Parit, Padang Rengas, Tambun, Ipoh Barat dan Ipoh Timur diterima kepimpinan Warisan.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata walaupun partinya terbuka untuk mengadakan kerjasama pintar dengan mana-mana parti namun Warisan kini sedang berusaha menguatkan kekuatan parti.

Ketika ditanya kawasan yang berpotensi untuk Warisan bertanding di Perak pada PRU15, beliau berkata kepimpinan parti sedang mengenal pasti ke arah itu.

Walau bagaimanapun, Mohd Shafie tidak menyatakan mana-mana kawasan yang sedang berada dalam radar partinya.