BATU PAHAT: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan lima aku janji yang bakal dilaksanakan di parlimen itu sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Katanya, aku janji itu membabitkan perancangan dalam membangunkan kawasan Ayer Hitam, Yong Peng dan sekitarnya secara berterusan bagi tempoh lima tahun.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, antara perkara yang ditekankan dalam aku janji itu membabitkan pembinaan stesen di Ayer Hitam sekiranya Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) KL-Singapura diteruskan.

Katanya, inisiatif itu dilihat mampu merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan dan menarik kemasukan pelancong di daerah berkenaan.

"Dari segi kedudukannya (Ayer Hitam) yang strategik, menjadikan sekiranya projek HSR ini dapat diteruskan kedua-dua negara Malaysia dan Singapura, maka satu stesen wajar dibuat di Ayer Hitam.

"Kerana saya melihat dari segi teknikal, ianya adalah satu lokasi yang sangat strategik dan ianya akan memberi manfaat kepada tiga kawasan yang saya sebutkan.

"Kebetulan juga kerajaan negeri telahpun membina jalan Bekok ke Paloh dan Paloh ke Yong Peng dan ini akan melicinkan lagi pergerakan pelancong untuk datang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Ayer Hitam di Yong Peng, di sini pada malam Sabtu.

"Saya nampak potensi yang mampu diperoleh dari usaha ini. Kalau dari sudut alam semulajadi, pelancong luar boleh melawat kawasan Bekok.

"Kalau mereka nak lihat pekan-pekan kecil atau nak minum kopi dan tengok stesen kereta api, ianya ada di Paloh manakala kalau mereka nak duduk hotel, makan dan boleh belah pula, mereka boleh kesini (Yong Peng).

"Justeru, Saya nampak Kalau mereka bekalkan (perkhidmatan) bas ekspress bagi menghubungkan sini ke Singapura dan Johor Bahru maka ia akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di mana akan memberikan manfaat di Parlimen ini," katanya lagi.

Tambahnya, Tawaran lain yang turut dijanjikan meliputi Yong Peng sebagai hab pertanian moden serta menarik pelaburan dan mencipta kejayaan baharu.

Di samping menjadikan Ayer Hitam sebagai hab pengangkutan darat, merancakkan sektor pelancongan dan menjadikan belia sebagai pemangkin masa depan.

Jelas Ka Siong, kesemua usaha terbabit sekali gus menyerlahkan keunikan Yong Peng, Paloh dan Bekok sebagai ‘Segi Tiga Emas Pelancongan’ di bahagian tengah negeri itu.