KUANTAN: Penyandang kerusi Parlimen Bentong, Wong Tack hari ini mengumumkan akan bertanding atas tiket Bebas di kawasan selepas digugurkan sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh pucuk pimpinan DAP.

Menurut Wong Tack, keputusan bertanding secara Bebas dibuat atas tuntutan tanggungjawab terhadap rakyat.

"Saya ingin mengumumkan saya akan mempertahankan kerusi Parlimen Bentong atas tiket rakyat. Seperti diumumkan DAP, nama saya tidak diisi sebagai calon di Parlimen ini untuk PRU15.

"Saya tidak termasuk dalam 'strategi besar' DAP bagi PRU kali ini," katanya mengumumkan keputusan itu dalam sidang media secara dalam talian hari ini.

Kata Wong Tack, sebagai anak jati Bentong, beliau tekad untuk mempertahankan kerusi disandangnya sejak PRU14.

"Sejak empat tahun lalu saya telah menjalankan tugas saya sebaiknya untuk rakyat di Bentong.

"Bentong adalah kampung saya dan saya komited untuk terus berkhidmat untuk rakyat di sini. Kita di sini ingin mewujudkan platform untuk kuasa rakyat, menanam benih harapan bukan hanya untuk Bentong tetapi negara," katanya dalam sidang media secara dalam talian pada Rabu.

Sehubungan itu, Wong Tack berkata, masyarakat di Bentong boleh memilih pemimpin untuk mewakili kawasan itu.

"Hari ini DAP telah memutuskan untuk tidak meneruskan persefahaman ini, jadi saya ingin jelaskan bahawa rakyat mempunyai hak untuk menentukan masa depan mereka. Pilihan di tangan kita.

"Kami juga tidak berminat untuk permainan politik terutama untuk parti politik. Rakyat bukan buah catur," tegas beliau lagi.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dalam sidang media memaklumkan, parti itu telah berbincang bersama Wong Tack sebelum membuat keputusan tersebut.

Bagaimanapun jelas Anthony, Wong Tack enggan menerima cadangan agar beliau ditempatkan sebagai calon di kerusi Parlimen Cameron Highlands.

"Memang ada dicadangkan Wong Tack bertanding di Parlimen Cameron Highlands dan saudara Chong akan memberi laluan walaupun beliau merupakan ADUN Tanah Rata.

"Bagaimanapun beliau (Wong Tack) tidak bersetuju dengan pandangan tersebut… kita sebagai parti perlu buat keputusan dan saudara Chong calon paling sesuai bertanding di Parlimen Cameron Highlands apabila Wong Tack tidak menerima cadangan tersebut," jelas Anthony.

Tambahnya, keputusan meletakkan calon juga dibuat selepas kaji selidik dijalankan dan mendapati  penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman atau Rara antara calon berpotensi menang untuk kerusi berkenaan.

"Kita nak Rara sebagai Ahli Parlimen wanita Melayu pertama DAP. Saya menaruh kepercayaan dan keyakinan penuh kepada beliau kerana beliau telah berkhidmat di kawasan tersebut sebagai ADUN dan mempunyai trek rekod yang baik.

"Jadi sokongan yang penuh daripada pengundi beliau di Ketari, itu saya yakin beliau boleh membantu parti mempertahankan kawasan Parlimen Bentong," jelas Anthony lagi.