Skip to main content

Politik

PRU16 sebelum Februari 2028, sabarlah – PM Anwar

Anwar turut menyatakan hasratnya untuk terus mengangkat martabat Malaysia dengan memanfaatkan pengalaman serta kekuatan sedia ada sekiranya diberikan mandat untuk menerajui negara sekali lagi.- Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Anwar turut menyatakan hasratnya untuk terus mengangkat martabat Malaysia dengan memanfaatkan pengalaman serta kekuatan sedia ada sekiranya diberikan mandat untuk menerajui negara sekali lagi.- Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diadakan sebelum Februari 2028, namun tidak memberikan tarikh khusus mengenai bila pilihan raya itu akan berlangsung.

Perdana Menteri sebaliknya meminta semua pihak bersabar ketika ditanya sama ada PRU16 akan diadakan sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan.

“Secara umum, mesti diadakan sebelum Februari 2028, lebih kurang. Jadi, sabarlah.

Advertisement

“Dia sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah. Dia tak ada lebih daripada itu,” katanya dalam Program Dialog Negara di ibu negara pada Rabu.

Dalam pada itu, mengulas kemungkinan perubahan dalam pentadbiran sekiranya diberikan mandat sekali lagi, Anwar berkata komposisi pentadbiran akan bergantung kepada keadaan, sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti politik.

Advertisement

“Komposisi pentadbiran nanti itu, kita tengok keadaan dan dukungan dan mandat yang diberikan kepada parti-parti,” katanya.

Anwar turut menyatakan hasratnya untuk terus mengangkat martabat Malaysia dengan memanfaatkan pengalaman serta kekuatan sedia ada sekiranya diberikan mandat untuk menerajui negara sekali lagi.

Beliau turut meletakkan harapan tinggi terhadap keupayaan golongan anak muda dalam usaha mengangkat kedudukan Malaysia di persada antarabangsa.

“Saya pencinta negara, saya yakin dengan keupayaan negara, saya meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada anak-anak muda.

“Saya mahu Malaysia ini sekarang ini terangkat, tapi biar menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan di dunia. Itu cita-cita saya,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement