BALING: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa mengalu-alukan kehadiran Rafizi Ramli sekiranya bekas Ahli Parlimen Pandan itu membuat keputusan untuk kembali aktif dalam gelanggang politik.

Menurut Anwar, sebagai ahli PKR dan rakyat Malaysia, Rafizi mempunyai hak untuk mengambil sebarang keputusan terutama membabitkan bidang politik dan demokrasi.

"Dia (adalah) ahli parti (PKR) dan ada hak seperti mana semua ahli (yang lain serta rakyat Malaysia), kita (sentiasa) mengalukan penyertaan (Rafizi Ramli untuk kembali aktif dalam arena politik) dan ia harus (dan perlu) merangkumi semua, (sesiapa sahaja dialukan)," kata Anwar.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucapan sempena Program Kenduri Rakyat memperingati Peristiwa Demonstrasi Baling dan Kebangkitan Rakyat 1974 di Padang Awam Kampung Lalang di sini, pada Ahad.

Mengulas desas-desus Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail, Rafizi serta Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak akan bertanding bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan akan datang, Anwar menjelaskan belum menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu.

Bahkan, kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, perkara berkenaan masih terlalu awal untuk diperkatakan.

"Saya tak ada maklumat apa lagi (mengenai nama calon yang mahu bertanding jawatan Timbalan Presiden), (ketika ini masih) terlalu awal (untuk diperkatakan)," tegas Anwar.

Pada Sabtu, Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, kehadiran semula pemimpin berpengalaman seperti Rafizi dalam barisan kepimpinan utama mampu mengukuhkan PKR menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tambah beliau, bukan sahaja Rafizi tetapi mana-mana tokoh pimpinan yang mahu kembali aktif berpolitik seperti Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar turut dialu-alukan untuk membantu parti.

Menurutnya, gabungan pemimpin lama dan baharu di dalam barisan kepimpinan tertinggi parti bakal mencetuskan kekuatan sebagai persiapan menghadapi musuh dalam pilihan raya akan datang.