Skip to main content

Politik

Rafizi, Nik Nazmi sila keluar PKR secara terhormat – Exco AMK

[TB]_Nik Nazmi Rafizi Ramli Halatuju Politik_FB RAFIZI RAMLI
Rafizi berkata, tempoh setahun lalu telah memberi ruang kepada mereka untuk menilai pelbagai pandangan, pertimbangan serta faktor sebelum memutuskan hala tuju politik seterusnya - Gambar Facebook Facebook Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli diminta untuk keluar daripada parti secara terhormat sekali gus mengumumkan pendiriannya dengan jelas, tegas Exco AMK Malaysia, Dzul Hilmi Zainol.

Katanya, tindakan itu wajar dibuat termasuk bekas Naib Presiden, Nik Nazmi Nik Ahmad jika mereka berdua sudah tidak lagi bersama perjuangan parti itu.

Jelasnya, anggota parti tidak boleh dibiarkan terus tertanya-tanya dan parti terus dibebankan dengan polemik yang tidak berkesudahan.

“Politik matang memerlukan kejujuran, bukan sindiran berpanjangan.

“Kalau benar sudah hilang keyakinan terhadap perjuangan dan hala tuju parti, maka Rafizi Ramli dan Nik Nazmi sepatutnya berterus terang kepada anggota parti dan rakyat.

“Jangan terus bermain tarik tali politik sambil mengekalkan kerusi Parlimen Pandan dan Parlimen Setiawangsa dan juga terus mempengaruhi penyokong beliau yang ada di dalam PKR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rafizi dan Nik Nazmi dilaporkan akan mengumumkan hala tuju politik baharu mereka Ahad ini.

Rafizi dalam kenyataan di laman Facebook berkata, tempoh setahun lalu telah memberi ruang kepada mereka untuk menilai pelbagai pandangan, pertimbangan serta faktor sebelum memutuskan hala tuju politik seterusnya.

Majlis pengumuman tersebut akan diadakan di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya.

Dzul Hilmi berkata, PKR dibina atas semangat perjuangan dan bukan untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik mengadu domba.

"PKR dibina atas semangat perjuangan, bukan untuk dijadikan pentas tekanan peribadi atau politik mengadu domba. Anggota di bawah bekerja siang malam mempertahankan Kerusi setiap Parlimen mahu pun DUN waema ketika susah, bukan untuk melihat pimpinan beragenda peribadi menghantar isyarat yang mengelirukan kepada akar umbi," tegasnya.
 

Must Watch Video